www.centex-sarawak.my
Search

Kerajaan negeri beri lebih penekanan kepada bidang STEM dalam kurikulum

KUCHING: Kerajaan negeri akan memberi lebih penekanan kepada empat bidang iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kurikulum pendidikan sekolah rendah dan menengah di negeri ini. Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pendekatan ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan yang diperlukan dalam era baharu dimana teknologi adalah penting. “Teknologi berubah dengan pantas dan kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan pusat dalam usaha kita melahirkan modal insan yang relevan dengan perubahan masa. “Sebab itu kita membangunkan Makmal Pembelajaran STEM di sekolah rendah dan menengah terpilih di negeri ini bagi menarik minat dan melatih pelajar dengan ilmu dan kemahiran STEM,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Naik Taraf Dewan dan Makmal Pembelajaran STEM di Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat Haji Bolhassan di sini semalam. Mengulas lebih lanjut mengenai Makmal Pembelajaran STEM ini, ia merupakan salah satu daripada inisiatif STEM Sarawak oleh kerajaan negeri menerusi Jabatan Ketua Menteri yang dipertanggungjawabkan kepada Jawatankuasa Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan. Jawatankuasa ini dipengeru-sikan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan turut mendapat kerjasama daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Jabatan Pendidikan Sarawak. “Sebagai permulaan Makmal Pembelajaran STEM ini kita laksanakan di enam sekolah pertama dengan peruntukan sebanyak RM750,000. “Enam sekolah ini ialah SK Tan Sri Dr Sulaiman Daud, SK Abang Abdul Rahman (Saratok), SMK Tunku Abdul Rahman, SMK St. Joseph Kuching dan SMK BM Saratok selain yang kita lancarkan pada hari ini di sekolah ini,” katanya. Dalam pada itu, Makmal Pembelajaran STEM yang dilancarkan di SK Rakyat Haji Bolhassan merupakan sekolah perintis yang pertama bagi projek ini. Selain enam sekolah perintis pertama, projek ini turut dirancang untuk diperluaskan ke seluruh Sarawak dengan melibatkan dua sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri. Selain STEM, kerajaan menurut Abang Johari turut memberi penekanan kepada Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di mana sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi pembangunan TVET tahun ini. Peruntukan ini adalah bagi meneruskan program TVET sedia ada di institusi-institusi latihan yang ada di negeri ini termasuk Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEX). Turut hadir isteri Ketua Menteri Datin Amar Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Muda Belia dan Sukan dan Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Talib Zulpilip. Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Rakayah Madon turut hadir bersama warga SK Rakyat Haji Bolhassan. (Taken from Utusan Borneo)
Related Info