www.centex-sarawak.my
Search

CENTEXS & SEB Fokus Program Latihan Kemahiran Tenaga Boleh Diperbaharui

CENTEXS & SEB Fokus Program Latihan Kemahiran Tenaga Boleh Diperbaharui

KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) memfokuskan pengwujudan program latihan kemahiran berkaitan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.

Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani memberitahu, usaha peralihan tenaga dan penyahkarbonan berterusan memberi pelbagai manfaat termasuk peluang baharu untuk mewujudkan pekerjaan dalam sektor tenaga bersih.

“Pada masa sama, sektor tenaga tradisional akan mengalami kemerosotan peluang pekerjaan dan ia memerlukan pembangunan program baharu.

“Dalam hal ini, CENTEXS dan SEB sedang menerajui bidang ini dalam Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Forum Tenaga Lestari dan Tenaga Diperbaharui (SAREF) 3.0 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.

Menurut beliau, CENTEXS menawar sebanyak 25 program dalam bidang tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui dengan kerjasama Huawei dan Solarvest.

Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi yang juga ahli lembaga SEB berkata, SEB menawarkan pelbagai program latihan dalam menyediakan rakyat Sarawak menghadapi peralihan ke tenaga boleh diperbaharui.

“Antaranya, program pembangunan kepimpinan dengan Melbourne Business School, program kemahiran semula berterusan dalam kecekapan teknikal (peralihan) daripada penjanaan bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui dan program pendigitalan dan teknologi terkini,” ujarnya.

Turut hadir ialah Naib Presiden Bahagian Modal Insan dan Sumber Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Ismail Said, Pengurus Besar Kanan Rakan Kongsi Sumber Manusia Global Perniagaan Huluan PETRONAS Akmal Niza Ahmad dan Ketua Penganalisis Pihak Berkuasa Kelayakan Estonia Yngve Rosenblad. -EDISI UKAS

Taken from ukas.sarawak.gov.my

Related Info