www.centex-sarawak.my
Search

Tenaga Solar, Sumber Tenaga Baharu Sarawak

KUCHING: Sarawak memperkenalkan satu lagi sumber tenaga baharu untuk menghasilkan hidrogen dan oksigen, iaitu tenaga solar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, teknologi baharu itu merupakan alternatif kepada penggunaan sumber tenaga hidro yang biasa digunakan.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa Sarawak kini mempunyai kedua-dua sumber tersebut, iaitu hidro dan tenaga solar.

“Pada umumnya, selalunya kita menggunakan hidro, tapi hari ini ia terbukti bahawa tenaga solar juga boleh digunakan untuk menghasilkan hidrogen dan oksigen.

“Tenaga solar turut memanfaatkan suria untuk menghasilkan tenaga melalui pemecahan molekul air (H2O) kepada hidrogen dan oksigen,”katanya.

Beliau mengesahkan perkara tersebut dalam sidang media selepas merasmikan Simposium dan Pameran Tenaga Hijau di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Jalan Sultan Tengah di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, tenaga solar juga dapat digunakan sebagai alternatif di kawasan pedalaman Sarawak yang tidak mempunyai sumber tenaga hidro.

“Untuk Sarawak, khasnya di kawasan pedalaman, kalau tidak ada hidrogrid, maka kita boleh gunakan tenaga solar. Sekarang pun kita ada program SARES dan bermakna pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) boleh juga menggunakan sistem solar untuk mengeluarkan hidrogen.

“Katakan esok kita ada tenaga mesra alam, maka kita juga boleh gunakan hidrogen di kawasan luar bandar.

“Katakan pengangkutan awam kita gunakan hidrogen contohnya kereta yang tidak mengeluarkan karbon, maka kita juga boleh menggunakannya di kampung-kampung.

“Jadi, dalam hal ini potensinya begitu besar untuk Sarawak menuju ke arah ekonomi hidrogen. Bermakna kita sudah sangat maju, kita ada sumber tenaga yang boleh menggerak ekonomi kita berdasarkan hidrogen,”tegas beliau.

Terdahulu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah menyempurnakan pelancaran Hidrogen Hijau Tenaga Solar Testbed dan menara 5G pertama asia tenggara yang dikuasakan oleh sistem mikrogrid suria kepada hidrogen serta berkesempatan mendengar taklimat mengenai smart PV Solar-Powered Green Hydrogen Illustration dan beberapa perkara yang berkaitan.

Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Centexs Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Konsul Jeneral Republik Rakyat China Xing Wei Ping, Konsul Jeneral Republik Indonesia (Kuching) Raden Sigit Wit Jaksono, Ketua Pegawai Eksekutif Centexs Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman dan dif-dif kenamaan yang lain. -Edisi UKAS

Related Info