Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Syeed Mohd Hussein bercakap pada sidang media berkenaan Simposium dan Pameran Tenaga Hijau 2023 di sini hari ini. Foto: Aziz Soleh (TVS)
KUCHING, 06 Jun: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) bakal menawarkan empat program latihan khusus dalam bidang Tenaga Hijau dan Kelestarian Alam Sekitar, mulai Julai depan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CENTEXS, Syeed Mohd Hussien, pengenalan senarai program itu selaras dengan hasrat kerajaan Sarawak ke arah memperkasakan Tenaga Hijau dan Kelestarian Alam Sekitar justeru CENTEXS berusaha untuk memberi pendedahan mengenainya kepada orang ramai.
“Dunia sekarang bercakap mengenai hidrogen hijau (green hydrogen). Jadi di CENTEXS, para pelajar akan belajar mengenai bagaimana sistem solar bekerja, bagaimana untuk memasang sistem solar dan bagaimana untuk mengkonfigurasinya. Ini merupakan satu teknologi yang tinggi.
“Jadi program berkenaan teknologi yang ditawarkan ada yang melibatkan tempoh kursus selama dua minggu, ada yang sebulan, sangat pendek tetapi ia bukanlah program yang mudah kerana ia banyak melibatkan pengiraan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan Simposium dan Pameran Tenaga Hijau 2023 di sini, hari ini.
Beliau menambah sesi ambilan pertama akan diadakan pada Julai 2023 merangkumi sebanyak 100 kekosongan pelajar yang ditawarkan.
Jelasnya seramai 25 orang pelajar untuk setiap program yang ditawarkan iaitu untuk Sijil Smart Solar PV (Pensijilan oleh Huawei dan Solarvest); Sijil Mobiliti dan Penyimpanan Hijau (Pensijilan oleh Huawei dan Solarvest); Sijil Hidrogen Hijau (Pensijilan oleh Solarvest) serta Sijil Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk Perusahaan (Pensijilan oleh Intertek dan Ethos).
“Program Sijil pendek ini ditawarkan kepada pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam pelbagai bidang,” ujarnya.
Oleh itu, menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Datuk Roland Sagah Wee Inn, MEITD telah pun mengadakan pelbagai kursus untuk para pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai persediaan.
“Supaya apabila mereka sudah besar nanti mereka akan faham apa semua ini dan senang untuk mereka mengikuti program-program yang diadakan dan kita sebenarnya di Kementerian Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat telah membuat makmal dan juga kajian mengenai keperluan industri kuasa utama di Sarawak.
“Lebih-lebih lagi, yang berkaitan dengan tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya. – TVS