www.centex-sarawak.my
Search

Pinda perundangan berkaitan perdagangan karbon – Abang Johar

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merasmikan Majlis Perasmian “Green Energy

Kuching: Kerajaan Persekutuan perlu mengemaskini perundangan khususnya berkaitan perdagangan karbon selari dengan peralihan negara kepada ekonomi baharu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, ekonomi negara perlu menjalani reformasi yang lebih mampan untuk bersaing dengan negara lain.

Menurutnya, karbon adalah satu komoditi yang boleh diniaga berdasarkan ketetapan yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru katanya, beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu perdagangan karbon yang sedang diusahakan Sarawak untuk menjadi penjana ekonomi baharu.

“Saya memaklumkan kepada beliau bahawa Kerajaan Persekutuan perlu mengemas kini perundangan negara khususnya berkaitan perdagangan karbon.

“Ini kerana karbon adalah komoditi dalam perdagangan antarabangsa dan kita mesti mempunyai undang-undang dalam rangka kerja bagaimana untuk menguruskan karbon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium dan Pameran Tenaga Hijau Antarabangsa 2023 dan Solar Testbed di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi dan Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani.

Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan solar yang akan membolehkan negeri itu memainkan peranan utama dalam peralihan ke arah ekonomi hidrogen menjelang 2030.

Menurutnya, beliau optimis Sarawak boleh mengubah keseluruhan ekosistem ekonomi dalam masa beberapa tahun akan datang berikutan negeri ini kaya dengan sumber hidro dan solar.

“Kawasan pedalaman di Sarawak yang tiada grid hidro menerima bekalan elektrik menerusi tenaga solar.

“Ini bermakna kita juga boleh menggunakan sistem solar menerusi Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) di kawasan luar bandar untuk menghasilkan hidrogen,” katanya.

Taken from myMetro

Related Info