www.centex-sarawak.my
Search

Bidang kemahiran teknikal, vokasional dipergiat

LAWATAN: Morshidi (dua kanan) mengiringi Adenan serta isterinya Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu (kiri) melawat pameran mini yang turut memaparkan model bangunan Centexs Kampus Lundu.
LUNDU: Kerajaan negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) merancang menubuhkan tiga kampus cawangan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) dengan anggaran kos sebanyak RM500 juta dalam tempoh lima tahun akan datang. Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Centexs Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani berkata, ia adalah usaha kerajaan untuk terus memperkasa dan mempergiatkan pembangunan bidang kemahiran teknikal dan vokasional untuk Sarawak. Menurutnya usaha itu tidak terhenti dengan penubuhan Centexs di Kuching di mana Kampus Lundu yang seluas 70 ekar merupakan cawangan pertama di tubuhkan. “Manakala dua lagi cawangan Centexs pula dirancang untuk ditubuhkan di kawasan lain di Sarawak mengikut keperluan dan permintaan. “Sementara Cantexs di Lundu akan menawarkan tujuh program iaitu Kimpalan 3G Plus, Kimpalan 6G Advance, Mekatronik, Jahitan, Wireman, Hospitaliti dan Scaffolding. Setakat ini seramai 60 belia telah mendaftar sebagai pelajar kumpulan pertama di Centexs Lundu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Centexs Kampus Lundu yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang di Jalan Lundu-Sematan di sini, semalam. Tambah Morshidi, pelajar berkenaan akan memulakan pelajaran mereka pada September depan dan sebagai permulaan mereka akan belajar di Centexs Kuching sementara menunggu kerja-kerja pengubahsuaian kampus sementara siap. “Kerajaan negeri telah memberi kebenaran kepada Centexs untuk menggunakan bangunan Pejabat Daerah Lundu yang lama sebagai kampus sementara, bagi menunggu kampus tetap siap pada tahun 2016,” katanya. Beliau berkata dengan tertubuhnya cawangan Lundu itu, diharap lebih ramai para belia yang akan diberikan latihan kemahiran dan teknikal sekali gus menyediakan lebih ramai guna tenaga mahir diperlukan di negeri ini khususnya bagi projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Katanya dianggarkan Sarawak memerlukan seramai 350,00 pekerja mahir dalam bidang teknikal dan vokasional untuk mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030. “Maka itu kita menyeru kepada belia dan masyarakat di sekitar daerah Lundu, Sematan dan Bau supaya mengambil peluang daripada insiatif kerajaan menubuhkan cawangan Centexs Lundu dengan mengikuti latihan kemahiran dan vokasional disediakan,” katanya. Sementara itu mengulas mengenai Majlis Penganugerahan Penajaan PETRONAS kepada sekolah-sekolah di bawah Sekolah Amanah dengan Kerjasama Yayasan AMIR, ia bertujuan memacu transformasi pendidikan mapan di sekolah awam. Morshidi berkata Petronas sebagai penaja akan menyalurkan penajaannya kepada sekolah terpilih untuk membiayai program seperti kursus pembelajaran dan pembangunan profesional para guru serta barisan kempimpinan sekolah. Selain itu, ia termasuk pelaksanaan pelan penambahbaikan tahunan Sekolah Amanah, sistem pengurusan prestasi, program kokurikulum serta strategi untuk penglibatan ibu bapa dan komuniti. (Text excerpted from The Borneo Post)
Related Info