www.centex-sarawak.my
Search

Sarawak perlu lebih ramai tenaga mahir

MUKAH: Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga mahir untuk mengisi kekosongan jawatan dalam bidang berkaitan, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah. Justeru katanya, kerajaan mewujudkan Centre Of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS) untuk memastikan bidang kemahiran mempunyai tenaga mahir dari kalangan anak tempatan. “Kita (Sarawak) mempunyai banyak lapangan kerja dalam bidang kemahiran yang belum diisi dan inilah tujuan utama institusi seperti CENTEXS diwujudkan,” katanya pada Majlis Perasmian Kampus Sementara CENTEXS Dalat semalam. Menurutnya, statistik Kementerian Sumber Manusia menunjukkan 1.5 juta pekerjaan baharu dalam tenaga kerja teknikal bakal diwujudkan menjelang tahun 2020. Ia adalah salah satu usaha kerajaan dalam mencontohi negara luar seperti Jerman dan Jepun di mana pekerja berkolar biru menerima pendapatan dan gaji lebih tinggi berbanding pekerja berkolar putih, katanya. “Masyarakat harus membuka mata bahawa bidang teknikal bukanlah bidang kelas kedua malah ia mampu memberikan upah dan gaji lumayan sekali gus mengubah landskap ekonomi masyarakat setempat,” ujarnya. Katanya, ini terbukti apabila lebih 90 peratus pelajar lepasan pelbagai bidang di CENTEXS mendapat pekerjaan. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman berkata sejak penubuhannya pada 2014, CENTEXS telah berjaya mendidik 1,700 pelajar yang kini telah bekerja di serata Sarawak. Beliau juga memberitahu kampus sebenar CENTEXS bernilai kira-kira RM50 juta akan dibina di Dalat. Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk dan pelajar sekitar Dalat agar mengambil peluang keemasan itu untuk menimba ilmu terutamanya dalam bidang kemahiran yang ditawarkan oleh CENTEXS Dalat. Ambilan pertama CENTEXS Dalat dalam bidang Tekstil dan Hospitaliti terdiri daripada 15 pelajar dengan sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar lepasan sekolah menengah sekitar Mukah melanjutkan pengajian di kampus tersebut. Turut hadir Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang, Pemangku Timbalan Residen Mukah Safri Saili, Pegawai Daerah Dalat Kueh Lei Poh serta 500 pelajar sekitar Dalat. (Taken from Utusan Borneo)
Related Info