www.centex-sarawak.my
Search

Keperluan tubuh cawangan CENTEXS di setiap bahagian diteliti

KUCHING: Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk menubuhkan cawangan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di setiap bahagian di negeri ini. Usaha ini menurut Pengerusinya Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani didorong oleh permintaan tinggi masyarakat khasnya belia untuk mengikuti kursus teknikal. Dengan adanya usaha ini, beliau yang juga setiausaha kerajaan negeri yakin belia Sarawak dari seluruh bahagian dapat mengikuti kursus teknikal di kawasan masing-masing. Secara tidak langsung ia akan mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh keluarga selain membolehkan para belia menyumbang kemahiran mereka untuk kemajuan dan pembangunan di kawasan mereka, katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pertama CENTEXS yang berlangsung di Dewan Serba Guna Yayasan Sarawak di sini semalam. Terdahulu dalam ucapannya, Morshidi berkata disebabkan permintaan dan kemasukan pelatih yang ramai untuk mengikuti kursus di pusat latihan ini dengan anggaran 500 orang setahun, maka CENTEXS terpaksa mengehadkan kuota kemasukan pelatih kerana kemudahan seperti bilik asrama dan jumlah mesin untuk tujuan latihan tidak mencukupi. “Justeru, sokongan daripada kerajaan negeri secara berterusan amat diperlukan terutama dari segi menyediakan dana bagi menambah fasiliti seperti membina bangunan untuk asrama pelatih, membeli peralatan mesin di bengkel-bengkel, penyediaan kemudahan rekreasi seperti menaik taraf padang bola sepak dan membina dewan serba guna bagi keselesaan para pelatih dan warga kerja. “Melalui sokongan kerajaan negeri, kita akan berusaha meningkatkan kemudahan-kemudahan di CENTEXS seperti kemudahan pembelajaran dan kemudahan rekreasi seperti yang diterangkan di atas,” ujarnya. Mengulas mengenai konvokesyen tersebut, Morshidi berkata kesemua pelatih yang diraikan telah menamatkan kursus dalam tiga jurusan seperti Scaffolding, Kimpalan dan Mekatronik (Port Equipment). Sijil yang diperolehi diiktiraf oleh Malaysian Oil and Gas Council (MOGSC), The Welding Institute (TWI) dan Kuching Port sekali gus membolehkan pelatih mencari dan mendapatkan pekerjaan dalam bidang yang berkaitan. Kursus yang dihadiri oleh pelatih ini merupakan kursus jangka pendek iaitu empat hingga enam bulan dengan modul pembelajarannya adalah lebih berorientasikan industri yang memberi fokus utama kepada latihan praktikal di industri-industri berkaitan. Sehingga kini, CENTEXS katanya telah mempunyai 11 rakan kerjasama sama ada daripada industri atau pusat latihan teknikal antaranya Petronas, Petra Energy Berhad, Senari Port, Brooke Dockyard dan Press Metal. Dalam pada itu, peka dengan keperluan semasa daripada pihak industri dan SCORE, beberapa kursus baharu turut diperkenalkan oleh CENTEXS seperti Juruelektrik iaitu Wireman Grade 1, 2 dan Chargeman untuk sesi pengambilan kedua yang sudah bermula bulan Ogos tahun lepas. (Text excerpted from The Borneo Post)
Related Info